Analisis Kepuasan Pelajar Terhadap Kualiti Perkhidmatan dan Pilihan Makanan di Kafetaria Politeknik Mukah
Keywords:
Kepuasan, kualiti, perkhidmatan, kafetariaAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan dan pilihan makanan di kafetaria Politeknik Mukah. Dengan menggunakan kaedah soal selidik yang dijalankan secara rawak melalui platform Google Forms, kajian ini melibatkan 327 pelajar yang mewakili populasi pelajar di Politeknik Mukah. Kajian ini menilai empat aspek utama: kekerapan pelajar mengunjungi kafetaria, perkhidmatan pengusaha kafetaria, perkhidmatan kualiti makanan, dan faktor yang mempengaruhi kepuasan pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar mengunjungi kafetaria setiap hari untuk membeli makanan. Walaupun terdapat penilaian yang positif terhadap layanan pengusaha kafetaria, terdapat beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan seperti kebersihan, harga makanan, dan kualiti makanan. Pelajar menekankan pentingnya kebersihan dan kehadiran pengusaha di kaunter sebagai faktor kritikal dalam menentukan tahap kepuasan mereka. Keseluruhannya, kajian ini memberi panduan kepada pengusaha kafetaria mengenai aspek yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan kepuasan pelajar dan memastikan perkhidmatan yang lebih baik di masa hadapan.